Wacana Sasterawan Sabah 2023

Wacana ini telah berlangsung dengan jayanya secara hibrid di Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu dan menerusi Facebook yang dikhaskan untuk Wacana ini pada Sabtu, 25 Februari 2023, jam 9.15 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Sebahagian daripada peserta yang hadir secara bersemuka telah menerima sijil penyertaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Mereka yang hadir secara bersemuka tetapi belum menerima sijil penyertaan boleh menuntutnya dengan Penolong Pengurus Besar, Ikatan Penulis Sabah (IPS) di Rumah Puisi Hasyuda Abadi. 

Untuk peserta yang hadir secara dalam talian pula, sijil penyertaan yang juga didatangkan daripada DBP akan diuruskan penyerahannya oleh Urus Setia IPS.

Ucaptama: Projek Merekabentuk Hasyuda Abadi

Profesor Dr. Abdul Halim bin Ali, Pensyarah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Presiden, Persatuan Sastera Budiman Malaysia

Sesudah Ismail Abbas, Azmah Nordin dan Jasni Matlani terpilih menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award), maka persatuan atau badan-badan yang berkaitan dengan sastera di Sabah dengan dukungan DBP Cawangan Sabah perlu merencanakan secara serius untuk mencalonkan dua atau tiga orang tokoh untuk dicadangkan sebagai penerima anugerah SEA Write Award bagi tahun 2022, 2023, 2024 dan seterusnya. Beberapa tokoh penulis yang boleh diketengahkan adalah Sukor Usin (Hasyuda Abadi), Arifin Arif dan Ramlee Awang Murshid. Manakala tokoh-tokoh yang perlu dipersiapkan untuk beberapa tahun ke hadapan pula adalah Norawi Haji Kata, Soibil Madun, Naddin Nuruddin, Ruhaini Matdarin dan Dayangku Mastura.

Pembentangan makalah 1: Peranan Surah asy-Syuaraa dalam Memandu Sastera Sabah: Hasyuda Abadi sebagai Teladan

Penulis: Ustazah Noorazlinah binti Awang, Guru Tingkatan Enam (Usuluddin), SMKA Kimanis, Papar dan Penyelaras, Rumah Ngaji Sabah

Pembentang: Ustazah Nazifatunnisa binti Hj. Salim, Guru Pendidikan Islam, SK Padang Berampah, Sipitang dan Pengurus, Rumah Ngaji Sipitang

Al-Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW. Mukjizat teragung ini keindahannya merangkumi pelbagai aspek termasuk sastera dan bahasa. Khazanah dan kekayaan ilmu dalam al-Quran perlu dirasai dan difahami oleh manusia. Dengan adanya keupayaan fizikal, keupayaan minda berfikir dan keupayaan emosi berperasaan menjadikan manusia adalah makhluk terpilih untuk menerima risalah agung ini. Realiti hari ini, umat Islam mempunyai kelemahan untuk berinteraksi dengan al-Quran dengan berpandukan ajaran sebenar daripada al-Quran. Oleh itu, tulisan ini bertujuan untuk menjelaskan definisi dan kepentingan tadabbur sebagai usaha memperbaiki interaksi dengan al-Quran. Selain itu, tulisan ini menerangkan intipati tadabbur Surah asy-Syuaraa sekaligus menjelaskan ibrah Surah asy-Syuaraa untuk dimanfaatkan oleh komuniti penulis di Sabah. Penulisan ini juga bertujuan menganalisis aplikasi tadabbur oleh Sasterawan Negeri Sabah yang ketiga iaitu Hasyuda Abadi di dalam karya puisinya. Hasil penulisan ini merumuskan definisi dan kepentingan tadabbur. Seterusnya, menjelaskan secara ringkas isi kandungan surah as Syuaara merangkumi tiga bahagian utama iaitu pemaparan ujian-ujian yang menimpa para Nabi dan Rasul, pemaparan mengenai kemudahan-kemudahan yang Allah SWT berikan kepada Nabi Muhammad SAW dan pemaparan tugas-tugas penting yang Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW. Surah ini juga pada ayat 221-227 menggariskan ciri penyair yang tercela dan terpuji. Akhir sekali, hasil analisis mendapati aplikasi tadabbur oleh Hasyuda Abadi terkandung dalam beberapa karya dalam buku puisi Kembali Di Lahad Rahsia (2008) dan Akar Cahaya (1997).

Pembentangan makalah 2: Gagasan Malaysia Madani: Sudut Pandang Hasyuda Abadi dalam Konteks Sastera Islam di Sabah

Ustaz Awang Abdul Muizz bin Awang Marusin, Pensyarah (Pendidikan Islam), Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memperkenalkan gagasan Malaysia Madani pada 19 Januari 2023. Gagasan tersebut mengandungi enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Sastera cuba mencari tempatnya dalam gagasan ini. Persoalannya, sejauh manakah sastera diterima oleh Malaysia Madani? Kajian ini bertujuan untuk merungkaikan pandangan sastera terhadap gagasan ini, terutamanya sastera Islam di Sabah. Kajian kepustakaan dan pemerhatian terhadap 15 buah puisi nukilan Hasyuda Abadi dalam sembilan buah buku kumpulan puisi karya beliau sendiri dan antologi puisi kelolaan kumpulan penyelenggara mendapati bahawa sastera Islam dan Malaysia Madani tidak boleh dipisahkan. Walaupun sastera tidak disebut secara jelas dan lurus dalam dokumen yang mengasaskan gagasan Malaysia Madani, kehadiran karya-karya sastera yang mesra Islam dan mesra masyarakat madani membuatkan sastera dinilai dapat menjadi penyumbang kepada kejayaan gagasan tersebut. Perkara ini sedikit sebanyak membawa kepada idea baru dalam sastera, iaitu sastera madani, iaitu sastera yang menggabungjalinkan Islam dan gagasan Malaysia Madani.

Pembentangan makalah 3: Analisis Kesepaduan Stail dengan Perutusan Agama dalam Kumpulan Puisi 'Kembali di Lahad Rahsia' Karya Hasyuda Abadi

Encik Norawi bin Hj. Kata, Guru Besar, SK Ulu Kukut, Kota Belud dan Presiden, Persatuan Sastera dan Budaya Sabah

Keupayaan seseorang penulis dalam menghasilkan suatu karya dinilai dalam aspek pemikiran selain nilai estetika keindahnnya kerana pemikiran adalah teras tamadun sesuatu bangsa. Hal ini membuktikan bahawa pemikiran menjadi inti dan unsur paling dasar dalam kehidupan termasuk hubungan manusia dengan penciptanya. Sehubungan dengan itu, seseorang penyair tidak terlepas daripada mengutarakan pemikirannya secara berseni melalui karya puisi. Pemikiran dan keindahan tidak dapat dipisahkan dalam sesebuah karya, khususnya puisi. Menurut Hassan Ahmad (2004), pemikiran ialah proses kognisi atau akal yang sifatnya sejagat, yakni dimiliki oleh manusia tidak kira bangsa, justeru itulah manusia dikatakan makhluk yang rasional dan berakal, berbeza daripada haiwan. Beliau memberi contoh pemikiran Melayu cukup analogis sifatnya kerana pemikiran disampaikan melalui kaedah perumpamaan, kiasan, tamsil ibarat dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan,kegeligaan dan bijaksana minda Melayu. Oleh itu, aspek keindahan dan pemikiran dalam puisi sangat penting dibincangkan bagi mengetengahkan kekuatan karya tersebut. Penyair yang kreatif harus bijak menggunakan gaya bahasa dalam menyuarakan pemikirannya serta pemikiran itu perlu ada kaitannya dengan perutusan agama dan perutusan realiti kehidupan. Kesepaduan unsur gaya bahasa dan pemikiran ini disebut stail, manakala perutusan agama perlu ada terkandung dalam al-Quran dan Hadis. Hasil kesepaduan gaya bahasa dan pemikiran ini dikatakan melahiran keindahan dalam sesebuah karya, misalnya puisi.

Pembentangan makalah 4: Sumbangan Hasyuda Abadi terhadap Pendidikan Kesusasteraan dan Kebudayaan di Sabah

Puan Fauziah binti Hj. Moksin, Guru Akademik (Bahasa Melayu), SMK Badin, Tuaran dan Ketua Dua, Ikatan Penulis Sabah

Penulis mengenali Hasyuda Abadi suatu ketika dahulu ketika penulis masih di bangku sekolah. Nama beliau ketika itu pada saya sudah meniti di bibir-bibir pencinta sastera termasuklah para pelajar ketika itu seperti penulis. Penulis mengenali beliau ketika mula-mula penulis menyertai Minggu Penulis Remaja pada tahun 1992, itu pun atas nasihat dan kata-kata semangat daripada Allahyarham abang penulis, dan ketika itu nama Hasyuda Abadi itulah salah satu nama yang disebut beliau yang katanya sahabat. Sehinggakan suatu ketika abang penulis pernah bertanya, "Ada jumpa kawan saya Sukor Usin?" Penulis kata, "Tiada, bang, Hasyuda Abadi sahaja." Ketika bengkel itu jugalah penulis mengenali (red: Sasterawan Negeri Sabah) Azmah Nordin bersama tenaga pengajar Ali Majood dan (red: Sasterawan Negara) Rahman Shaari serta ahli-ahli IPS ketika itu. Hasyuda Abadi dalam dunia kesusateraan terlalu banyak sumbangannya terhadap pendidikan kesusasteraan dan kebudayaan di Sabah.