Sejarah

Ikatan Penulis Sabah (IPS) merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan menurut Akta Pertubuhan 1966 dan berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah. IPS pada saat ini terdiri daripada sebuah Majlis Tertinggi serta sejumlah Ahli yang berasal dari atau menetap di negeri Sabah.

Permulaan gerakan sastera di Sabah

Gerakan sastera bermula di Sabah sebaik sahaja Angkatan Gaya Baru (AGABA) ditubuhkan pada tahun 1957. Kemudian Angkatan Penulis Muda Sabah (APMS) pula muncul pada tahun 1960-an ekoran daripada kegagalan AGABA untuk menyerlah secara berkesan untuk menangani sastera di Sabah. 

Tetapi, APMS juga terpaksa bersaing dengan Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) sehingga memungkinkan pula lahir badan penulis yang lain iaitu Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) pada 13 April 1970.

Penubuhan IPS

Menjelang tahun 1990-an, terdapat beberapa persatuan penulis yang lahir dan menjadi aktif di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu. Persatuan-persatuan ini telah menyumbang dan membantu dalam menyemarakkan lagi kegiatan sastera di negeri ini. 

Salah satu persatuan yang dimaksudkan ialah IPS. Idea penubuhan persatuan ini timbul daripada tiga orang penulis muda yang giat berbincang mengenai keperluan mewujudkan sebuah persatuan yang dapat membantu keterampilan penulis-penulis muda ketika itu. Ketiga-tiga penulis yang dimaksudkan ialah Aliudin Mohd. Salleh, Abd. Naddin Shaiddin dan Jasni Matlani.

Hasil perbincangan yang berlangsung selama lebih kurang sebulan sejak Februari 1990, maka lahirlah IPS pada 24 Mac 1990. Mesyuarat Agung Penajanya berlangsung di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Kota Kinabalu dan dihadiri oleh kira-kira 23 orang penggiat dan peminat sastera yang aktif bersastera di bandar Kota Kinabalu dan sekitarnya. 

Perkembangan IPS

Sejak penubuhannya sehingga kini, IPS telah dan masih menyumbang kepada gerakan bahasa, sastera dan budaya tempatan Sabah. Sebagai sebuah persatuan penulis, IPS menggalakkan ahli-ahlinya menyumbang kepada penulisan sama ada berbentuk kebudayaan dan kesenian, kesusasteraan dan akademik.

Dalam hal ini, telah banyak karya sastera, baik puisi tradisional (seperti pantun dan syair), sajak, cerpen mahupun novel, telah diterbitkan oleh pemuka-pemuka dan ahli-ahli IPS telah diterbitkan dalam akhbar, majalah mahupun buku antologi. Sebilangan karya tersebut, malah, mendapat tempat di luar negara, terutamanya Indonesia.

Semua itu membolehkan pemuka-pemuka dan ahli-ahli IPS meraih pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada sastera dan kualiti yang mereka tonjolkan dalam karya. Pengiktirafan ini telah dirasai ketika Jasni Matlani dan Hasyuda Abadi menjadi Ketua Satu IPS, masing-masing pada zaman 1990-1999 dan 1999-2019.

Kebanyakan pengiktirafan tersebut datang menerusi Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Sabah yang dikelolakan oleh DBP. Malah, pernah orang yang pernah menjadi Ahli IPS menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa seperti Anugerah Penulisan Asia Tenggara.

IPS terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman. Walaupun Malaysia diuji dengan pandemik COVID-19, tetapi IPS terus bergerak bersesuaian dengan keadaan dan tujuan. Di sebalik identiti IPS yang mengekalkan tradisi, IPS turut mengikuti peralihannya kepada bentuk digital. Peralihan ini telah berlaku ketika Abd. Naddin Shaiddin menjadi Ketua Satu IPS pada zaman 2019-2021. Malah, lebih banyak kerjasama terjalin antara IPS dengan DBP serta badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang lain, terutamanya bagi memastikan sastera Sabah bersifat berterusan tanpa mengira zaman.

Hari ini, IPS merupakan gabungan daripada generasi pertama dan generasi kedua. Walaupun Ketua Satu IPS pada saat ini datang daripada generasi kedua, masih ramai daripada generasi pertama yang berkiprah dalam semangat kekeluargaan untuk mendirikan sastera, bahasa dan budaya tempatan Sabah.

Ketua Satu sejak penubuhan

Empat orang Ketua Satu IPS bertemu di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah sempena ulangtahun ke-45 DBP Cawangan Sabah.

Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani, PGDK
Ketua Satu zaman 1990-1999

Pengasas dan Ketua Satu pertama bagi IPS ini merupakan Presiden, Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) sejak tahun 2007 dan Ahli Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2022.  Kepelbagaian karya yang beliau telah tulis sejak tahun 1982 serta kesungguhan beliau dalam mempromosikan puisi esai di Malaysia bersama pelopornya di Indonesia, Denny JA, membolehkan beliau meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pemilik Iris Publishing dan Ahli jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara pada tahun 2015 dan dikurniakan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2017.

Hj. Sukor Hj. Usin (Hasyuda Abadi), PPN, BSK, BK
Ketua Satu zaman 1999-2019

Ketua Satu dengan penggal terpanjang dalam sejarah IPS dikenali sebagai pemuka sastera Sabah yang menanamkan nilai-nilai Islam dalam pengkaryaan sastera. Sejak pertama kali karya beliau terbit dalam akhbar Sabah Times pada tahun 1980, kakitangan Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah dari tahun 1985 hingga 2015 ini telah menulis ribuan karya sastera sehingga mendapat banyak pengiktirafan, antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019, Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 dan Tokoh Seni Sastera Islam Sabah 2022. Selain menjadi Pengerusi, Majlis Penasihat IPS sejak 2019, penerima Bintang Kinabalu (2005), Pingat Pangkuan Negara (2008) dan Bintang Setia Kinabalu (2013) ini juga kini mengurus Rumah Puisi Hasyuda Abadi dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Beliau juga sejak Disember 2020 merupakan Pengerusi, Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menobatkan beliau sebagai Sasterawan Negeri Sabah ke-3 pada Disember 2022, sekaligus menjadikan beliau satu-satunya ahli IPS yang diberi anugerah tertinggi sastera di negeri Sabah.

Abd. Naddin Hj. Shaiddin, BSK, BK
Ketua Satu zaman 2019-2022

Walaupun menjadi penyandang jawatan yang paling singkat sejak penubuhan IPS, zaman beliau menjadi Ketua Satu merupakan zaman yang agak mencabar. Penularan pandemik COVID-19 sejak Januari 2020 hingga kini membuatkan IPS memilih untuk menjadi digital di samping mengekalkan cirinya yang bersifat konvensional dan tradisional. Wartawan Utusan Borneo (Sabah) dari tahun 1994 hingga 2021 ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang penulisan, baik penulisan akhbar mahupun penulisan sastera sehinggakan Yang di-Pertua Negeri Sabah menghargai beliau dengan kurniaan Bintang Setia Kinabalu (2022) dan Bintang Kinabalu (beberapa tahun sebelumnya). Pengasas IPS, pengarang akhbar dalam talian sabah360online.com dan Pegawai Khas (Media) di Pejabat Penasihat BIMP-EAGA, Jabatan Ketua Menteri Sabah ini masih mengganggotai Jawatankuasa IPS bagi penggal 2022-2024. 

Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Ketua Satu sejak 2022

Beliau merupakan Ketua Satu yang datang daripada generasi kedua IPS. Di samping mendapat pendedahan awal kesusasteraan daripada ibu bapa beliau, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tahun 2018 dalam bidang Pendidikan (Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua) ini turut mendapat pendedahan yang sama daripada IPS seawal tahun 2009. Cerpen beliau terbit di dada akhbar tempatan Sabah buat julung kalinya pada tahun itu juga. Sejak daripada itu dan sehingga kini, telah tersiar beberapa karya eceran, baik sajak mahupun cerpen, di dada-dada akhbar tempatan Sabah. Pada saat ini, graduan Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Islam), Universiti Malaysia Sabah, tahun 2022 dan pelajar program Doktor Falsafah (Kesusasteraan), Universiti Malaysia Sarawak sejak bulan Julai 2023, ini bertugas sebagai pensyarah dan pegawai pengurusan di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu. Beliau telah berhasil menulis empat buah buku, termasuk buku kumpulan puisi remaja 'Gedung Kesaksian' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2023 dan 'Usrah: Sebuah Perjalanan' terbitan IPS, tahun 2023.