Pingat Penulis Sabah

Sesuai dengan ketentuan Fasal 17(1)(a) dan Fasal 22(2), Perlembagaan Ikatan Penulis Sabah, suatu anugerah yang dinamakan Pingat Penulis Sabah (PPS) dizahirkan secara rasmi oleh Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada 18 Disember 2023. Pingat Penulis Sabah merupakan bentuk penghargaan dan pengiktirafan Ikatan kepada ahli dan bukan ahli IPS di dalam dan di luar negeri Sabah yang telah memberikan perkhidmatan dan sumbangan yang terbaik kepada Ikatan ini, masyarakat, bangsa dan negara dalam bidang-bidang yang diceburi oleh Ikatan.

PPS terbahagi kepada empat kelas pingat dan dua kelas sijil, iaitu PPS (Utama), PPS (Panglima), PPS (Satria), PPS (Bintara), Sijil Kepujian Penulis Sabah dan Sijil Bakti Penulis Sabah. Semua penerima PPS ditetapkan oleh Ketua Satu IPS pada bila-bila masa yang bersesuaian, sesuai dengan ketentuan Fasal 17(1)(a), Perlembagaan IPS.

Pingat Penulis Sabah (Utama)

Dianugerahkan kepada pegawai dan ahli IPS yang telah menunjukkan pengabdian yang berterusan dan berimpak tinggi kepada bangsa dan negara dalam bidang yang diceburi oleh individu berkenaan dan IPS itu sendiri. Penerima Pingat ini akan menerima selempang emas, pingat emas dan watikah penganugerahan.

Pingat Penulis Sabah (Panglima)

Dikurniakan kepada pegawai, ahli, kakitangan, sukarelawan dan sahabat IPS yang telah menunjukkan pengabdian yang berterusan dan berimpak kepada bangsa dan negara dalam bidang yang diceburi oleh individu berkenaan dan IPS itu sendiri. Penerima Pingat ini akan menerima pingat emas dan watikah penganugerahan.

Penyandang jawatan Ketua Satu IPS menerima Pingat ini secara automatik; pegawai lain, ahli, kakitangan dan sukarelawan IPS menerimanya Pingat ini secara merit, manakala sahabat IPS menerima Pingat ini berdasarkan keputusan Ketua Satu IPS.

Pingat Penulis Sabah (Satria)

Dikurniakan kepada pegawai, ahli, kakitangan, sukarelawan dan sahabat IPS yang telah menunjukkan pengabdian yang berterusan dan berimpak tinggi kepada IPS, masyarakat dan negeri dalam bidang yang diceburi. Penerima Pingat ini akan menerima pingat perak dan watikah penganugerahan.

Penyandang jawatan Ketua Dua, Setiausaha Satu, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengurus Besar dan Ketua Perwakilan IPS menerima pingat ini secara automatik dengan syarat tidak pernah dianugerahkan Pingat yang lebih tinggi daripada Pingat ini oleh Ketua Satu IPS; pegawai lain, ahli, kakitangan dan sukarelawan IPS menerimanya Pingat ini secara merit, manakala sahabat IPS menerima Pingat ini berdasarkan keputusan Ketua Satu IPS.

Pingat Penulis Sabah (Bintara)

Dikurniakan kepada pegawai, ahli, kakitangan, sukarelawan dan sahabat IPS yang telah menunjukkan pengabdian yang berterusan dan berimpak kepada IPS, masyarakat dan negeri dalam bidang yang diceburi. Penerima Pingat ini akan menerima pingat gangsa dan watikah penganugerahan.

Penyandang jawatan Setiausaha Dua, Penolong Bendahari dan Ketua Pemuda IPS menerima pingat ini secara automatik dengan syarat tidak pernah dianugerahkan Pingat yang lebih tinggi daripada Pingat ini oleh Ketua Satu IPS; pegawai, ahli, kakitangan dan sukarelawan IPS menerimanya Pingat ini secara merit, manakala sahabat IPS menerima Pingat ini berdasarkan keputusan Ketua Satu IPS.

Sijil Kepujian Penulis Sabah

Dikurniakan kepada pegawai, ahli, kakitangan dan sukarelawan IPS yang telah menunjukkan pengabdian kepada IPS, masyarakat dan negeri dalam bidang yang diceburi untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan secara berterusan.

Sijil Bakti Penulis Sabah

Dikurniakan kepada sahabat IPS dan mana-mana individu yang tidak ada kaitannya dengan IPS yang telah memberikan perkhidmatan dan sumbangan tertentu kepada IPS, masyarakat dan negeri dalam bidang yang diceburi.