Ikatan Penulis Sabah (IPS) diwakili oleh suatu lambang yang telah wujud sejak selepas penubuhannya tetapi hanya ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 Februari 2023 menurut Fasal 4, Perlembagaan IPS, iaitu satu-satunya logo yang sedang IPS pakai pada ketika ini.
Pena dengan jelas memberi makna ketajaman pemikiran yang diutarakan oleh ahli-ahli Ikatan yang terdiri daripada penulis-penulis yang yang dinamis, progresif dan bertanggungjawab dalam melahirkan idea-idea murni yang menjadi landasan pemikiran masyarakat.
Arah pembentukan poligon dan bulatan-bulatan menjurus ke atas mencorakkan arah masa depan, arah yang ingin dituju oleh Ikatan dan ahli-ahlinya selaras dengan wawasan Negara.
Warna-warna merah, biru dan hijau muda mewakili kekentalan minda, memelihara falsafah kemakmuran sejagat dan melahirkan masyarakat murni yang diangkat daripada nilai-nilai kesejagatan Islam.
Ukiran garis berbentuk poligon dan bulatan memperlihatkan sebuah ikatan sejajar dengan nama pertubuhan yang menggabungkan para penulis dengan citacita yang tinggi di dalam sebuah ikatan persatuan.
Kesemua elemen yang terdapat dalam logo Ikatan berlatar belakangkan warna kuning susu yang menggambarkan kekuatan kesatuan ahli-ahli Ikatan dalam meneruskan amalan dan perjuangan.
Selain logo, IPS juga diwakili oleh lagu-lagu kebesaran yang mewakili imej komuniti yang terdapat di dalamnya dan Deklarasi Penulis Sabah yang mewakili komitmen komuniti penulis Sabah, sama ada yang menganggotai IPS atau sebaliknya, terhadap penerusan persuratan di Malaysia, khususnya Sabah. Baca lagi: