Melukis Senja
"Puisi Adalah... sudah. Sepanggar Berpantun, sudah. Sepanggar Membaca juga sudah. Apa lagi yang boleh dilakukan, yang dapat memberi manfaat kepada yang lain?"
Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Awang Abdul Muizz Awang Marusin mengaku pernah bertanya soalan ini kepada beberapa orang yang menemui beliau belum lama ini. Beliau juga mengaku suka memikirkan jawapannya ketika matahari menunjukkan senjanya pada petang hari.
Bagi beliau, selain menjadi gambaran kepada penghujung sesuatu hari, senja juga memiliki keindahan yang tiada taranya untuk dihayati dan disyukuri. Beliau mengilhamkan senja yang menyampaikannya dengan jawapan yang dicarinya bersama beberapa orang lagi. Namun, ternyata jawapan kepada soalan yang dimaksudkan ialah "melukis senja".
"Melukis senja" dengan tidak semestinya melukis
Bagi mereka yang memiliki kemahiran melukis, mereka akan menghasilkan lukisan yang memiliki keindahan yang setara dengan keindahan senja tanpa semestinya mereka melukis keadaan waktu senja itu sendiri. Bagi mereka yang memiliki kemahiran menulis, mereka akan menghasilkan penulisan yang juga membolehkan pembaca membayangkan keindahan senja atau keindahan sesuatu yang setara dengan keindahan waktu senja.
Meskipun begitu, pembicara dan pendengar turut diharapkan mampu “melukis senja” dengan caranya, yang mampu memberi rasa bahagia kepada mereka yang berduka atau tertinggal dalam keadaan tertanya-tanya, yang mampu memberi kelebihan kepada mereka yang kekurangan, mahupun yang mampu menyuntik kekuatan kepada mereka yang memerlukan.
"Kalau tidak di tepi pantai, di lereng gunung yang permai. Kalau tidak sebelum atau pada waktu senja, pada malam yang menjelma setelahnya. Kalau tidak dengan skala yang besar, cukup dengan skala yang ada," kata Awang Abdul Muizz dalam surat tertutup yang beliau tulis dari Banting, Selangor dan kirimkan kepada urus setia IPS pada Rabu (8 Mei 2024).
"Melukis senja" tanpa merasa berat bersendiri
"Melukis senja" ternyata tidak sekadar "melukis waktu senja" atau "melukis sesuatu pada waktu senja" seperti yang difikirkan oleh orang biasa. Realitinya, tidak semua kita mampu "melukis (dengan indah) waktu senja" atau sekurang-kurangnya "melukis sesuatu (keindahan yang diharapkan) pada waktu senja".
Syafil Syazwan Jefri (2022) memetik perspektif Budi Syahbudin Syukur terhadap "melukis senja" sebagai perjuangan setiap orang yang memiliki tujuan dan impian dalam kehidupan. Komposer dan penyanyi Indonesia tersebut mengenang kembali kehidupan beliau ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 sehingga membuatkan beliau meninggalkan Jakarta untuk berpindah ke sebuah perkampungan di Banten.
Beliau memulakan kehidupan beliau di sana dengan kosong ketika itu, tidak setakat membina rumah di atas tanah yang dahulunya hutan, tetapi juga membina semula kehidupan yang terjejas dengan karya-karya muzik yang seterusnya. "Melukis Senja" merupakan salah satu daripada 16 buah lagu yang berjaya beliau cipta di sana.
"Ketika rakan-rakan pemuzik... memulakan perniagaan baharu..., saya cuba hasilkan lagu dan ternyata, saya curahkan semua isi hati saya ke dalam lagu Melukis Senja itu. " kata Budi.
Isi hati yang dimaksudkan menjelaskan indahnya "melukis senja" tanpa merasa sunyi dengan adanya seseorang yang lain walaupun berjauhan dan bersendiri. "Dalam mengejar cita-cita..., prosesnya akan membawa kita melalui pelbagai cabaran dan dugaan. Pada masa sama, kita juga perlukan sokongan, motivasi dan semangat untuk terus menyayangi diri kita sendiri," kata Budi.
"Aku di sini
walau letih, coba lagi
jangan berhenti
Kuberharap meski berat,
kau tak merasa sendiri
Kau telah berjuang
menaklukankan hari-harimu
yang tak indah
Biar kumenemanimu
membasuh lelahmu."
(Budi Syahbudin Syukur, 2020)
"Melukis senja": Langkah ke hadapan
"Melukis senja" berhasrat menjadi satu inisiatif yang menggabungjalinkan seni visual dengan penulisan, pementasan dan wacana pelbagai genre, format dan tema dengan keutamaan tertumpu kepada kesihatan mental, kesejahteraan rohani dan kepentingan literasi. Tujuannya ialah untuk memanfaatkan peranan senja sebagai terapi kepada individu yang mencari ketenangan setelah kelelahan, kenyamanan setelah kepanasan, dan kegembiraan setelah kesedihan.
Sabah, sebagai sebahagian daripada Malaysia, beruntung kerana memiliki kekayaan flora dan fauna serta kemajmukan golongan manusia yang menjadi rakyat, penduduk dan pelancongnya. Setiap orang yang menetap di Sabah, terutamanya di sebelah pantai barat, sudah sedia maklum bahawa senja di Sabah, terutamanya di Kota Kinabalu, sentiasa menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Sektor pelancongan dan alam sekitar Sabah mendapat manfaat besar daripada kurniaan Allah kepada Sabah berbentuk senja yang amat indah untuk ditatap dan dihayati. Sektor ekonomi juga mendapat kesan tidak langsung daripada keindahan senja yang dimaksudkan. Maka, sudah sampai masanya untuk sektor pendidikan, kebudayaan dan pembangunan masyarakat untuk turut serta mendapat manfaatnya daripada keindahan senja yang terdapat di Sabah.
Sebabnya, "melukis senja" tidak membawa maksud yang orang biasa fahami seperti biasa. "Melukis senja" semoganya memberi manfaat kepada kita yang menggerakkannya mahupun menyertainya dengan pelbagai cara, baik dalam bentuk sukan dan rekreasi, bicara santai, penulisan, lukisan, perjalanan ke tempat tarikan, mahupun sesuatu yang mampu menyuntik jiwa dan raga untuk kembali kuat meneruskan kehidupan.
"Hidup tak akan berat, saat kau tak merasa sendiri."
(Budi Syahbudin Syukur, 2020)
Bacaan lanjut
Marliana Kuswanti (2023, Oktober 29). Lima alasan orang menyukai senja, apakah kamu salah satunya? IDN Times. Dipetik daripada https://www.idntimes.com/life/inspiration/marliana-kuswanti/alasan-orang-menyukai-senja-c1c2?page=all pada 9 Mei 2024.
Syafil Syazwan Jefri (2022, Oktober 9). Tuah melukis senja. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.hmetro.com.my/utama/2022/10/890720/tuah-melukis-senja pada 9 Mei 2024.