Sepanggar Berpantun

Bersama Perkasakan Kemaritiman, Pendidikan dan Perindustrian Sepanggar dengan Pantun Warisan

Apa ertinya di Singapura,

Maju wawasan di marcapada,

Apa lambangnya Bumiputera,

Pantun warisan di mayapada.

Sepanggar merupakan sebuah nama yang sering kali terdengar di telinga kita, rakyat dan penduduk Malaysia, terutamanya di Sabah. Apa tidaknya, Sepanggar merupakan sebahagian daripada Bandar Raya Kota Kinabalu, ibu kota negeri Sabah. Sebagai yang demikian, Sepanggar juga merupakan salah satu kawasan Parlimen yang terdapat di Bandar Raya Kota Kinabalu selain Kota Kinabalu itu sendiri.


Namun begitu, adakah kita benar-benar memahami keunikan dan potensi yang tersirat di sebalik nama besar ini? Apa pun jawapannya, Sepanggar secara realitinya bukanlah semata-mata sebuah kawasan yang strategik bagi sektor kemaritiman, pendidikan, dan perindustrian, tetapi juga memiliki potensi yang besar untuk menjadi pusat mempromosikan pantun sebagai warisan dunia dalam kategori budaya tidak ketara.


Sepanggar: Pusat Kemaritiman yang Berkembang Pesat


Sebagai salah satu kawasan yang dikenali sebagai pusat kemaritiman, Sepanggar telah menunjukkan perkembangan yang luar biasa dalam sektor maritim dan perkapalan. Pelabuhan Sepanggar, contohnya, merupakan salah satu pelabuhan terpenting di Malaysia yang menghubungkan negara ini dengan pelbagai destinasi di seluruh dunia. Namun, bagaimanakah hubungan antara Sepanggar sebagai pusat kemaritiman dengan pantun? 


Pantun, sebuah bentuk puisi tradisional Melayu, sering kali mengambil inspirasi dari alam sekeliling, termasuk laut dan kehidupan maritim. Dengan Sepanggar sebagai pusat kemaritiman, potensi untuk menghidupkan kembali pantun yang berunsur maritim adalah sangat tinggi. Pantun-pantun ini bukan sahaja mempromosi keindahan alam, tetapi juga memperkaya pemahaman kita terhadap kehidupan di laut.


Sepanggar di Lapangan Pendidikan dan Perindustrian


Dengan kehadiran pelbagai institusi pendidikan di Sepanggar seperti Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi MARA Kampus Kota Kinabalu, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu, peluang untuk memperkenalkan dan menghidupkan kembali pantun sebagai bentuk pengajaran dan pembelajaran sentiasa dan semakin terbuka. Melalui pendekatan ini, generasi muda dapat diperkenalkan dengan warisan budaya yang kaya raya, sambil memahami kepentingan memelihara warisan tersebut.


Sepanggar juga dikenali sebagai pusat perindustrian yang membangun. Pelbagai sektor perindustrian telah hadir di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), bukan sahaja untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga untuk menggalakkan pertukaran dan penggabungjalinan budaya tempatan dan antarabangsa. Kehadiran pelbagai sektor perindustrian di KKIP seperti sektor pemakanan, pembinaan dan tenaga, boleh dimanfaatkan untuk mempromosi pantun sebagai produk budaya yang dapat dieksport ke luar negara, baik melalui penerbitan buku, pembuatan cenderamata, mahupun pelaksanaan acara-acara budaya yang menonjolkan pantun.


Pantun: Warisan Dunia Kategori Budaya Tidak Ketara


Sepanggar sedang menyaksikan sangat besarnya peluang untuk mempromosi pantun sebagai warisan dunia dalam kategori budaya tidak ketara. Melalui inisiatif yang tepat dan sinergi pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan yang hebat, Sepanggar boleh menjadi model bagaimana sebuah kawasan dapat memanfaatkan potensinya dalam sektor maritim, pendidikan, dan perindustrian untuk mempromosi warisan budaya seperti pantun.


Realitinya, Sepanggar, sebagai bahagian penting kepada keberhasilan gagasan Malaysia Madani dan hala tuju Sabah Maju Jaya, mempunyai potensi yang belum tergali sepenuhnya dalam mempromosi pantun sebagai warisan budaya. Dengan keunikan dan keberadaannya sebagai pusat kemaritiman, pendidikan, dan perindustrian, Sepanggar dapat menjadi contoh bagaimana sebuah kawasan dapat menggabungkan unsur-unsur moden dengan warisan tradisional untuk mencipta suatu sinergi yang bermanfaat bagi semua.

Mari ke pagar memetik zaitun,

Makan terasi di pekan Gurun;

Mari Sepanggar kita berpantun,

Hidup tradisi turun-temurun.

Inisiatif 'Sepanggar Berpantun' telah difikirkan ketika pendiri Balai Pantun Singapura, Karmin Abbas, memperkenalkan aplikasi 'AI Pantun' kepada kepimpinan utama Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada pertengahan bulan Jun 2023 yang lalu. Beliau ketika itu mengadakan lawatan sosial ke Kota Kinabalu bersama keluarga. 

Walaupun begitu, inisiatif tersebut belum bermula. Kepimpinan utama IPS bersepakat untuk cuba menggerakkan pantun di Sabah di bawah pergerakan Pantun Warisan Sabah.

Inisiatif 'Sepanggar Berpantun' diilhamkan setelah terdapat keperluan perlunya Sepanggar, sebagai kawasan yang mengehoskan IPS, untuk mendapat jenama daripada kegiatan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah yang diceburinya sejak tahun 1990. Pengarah, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK); Pendiri, Balai Pantun Singapura; dan Ketua Satu IPS bersetuju untuk memulakan inisiatif 'Sepanggar Berpantun' seawal bulan Julai 2023.

Sejak inisiatif 'Sepanggar Berpantun' dimulakan, ramai staf dan pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) telah mendapat manfaatnya, baik dalam aspek penulisan pantun mahupun pemurnian pantun.

Inisiatif 'Sepanggar Berpantun' diperluaskan ke institusi pendidikan di kawasan Parlimen Sepanggar pada awal bulan September 2023. Tiga buah sekolah menengah di kawasan Parlimen Sepanggar telah mendapat manfaat daripada proses pembinaan, penambahbaikan dan pengindahan pantun warisan.