Kuseru Namamu

“Bahawa sastera kita ini membugar dan terus dalam pembugaran. Dengan adanya teknologi terkini, jangan sampai ia mendahului sastera. Biar sastera berdampingan dengan kemajuan.”

13 tahun sebelum inisiatif ini wujud, seorang mangaka Jepun bernama Kafka Asagiri menerbitkan manga yang bertajuk Bungo Stray Dogs (Bahasa Melayu: Sastera Anjing Liar; terjemahan rasmi dari penerbit Kadokawa bertajuk Ejen Luar Biasa). Siri manga ini kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah siri animasi dengan tajuk yang sama empat tahun menyusul dan kemudiannya mendapat adaptasi merentas medium seperti pementasan teater, filem, permainan video sehinggalah beberapa siri novel.

Siri ini mengkisahkan sekumpulan detektif yang menjalankan operasi di bawah satu perkumpulan. Dalam masa yang sama, mereka turut berhadapan dengan ancaman keganasan dari pelbagai penjuru dan menjadi beban tugas mereka untuk melindungi bandaraya Yokohama daripadanya dari sebalik tabir.

Siri ini mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh dunia. Namun apa yang menjadi daya penarik yang sebenarnya ialah karakter dan kemampuan yang mereka miliki. Kesemua karakter yang tampil diambil nama mereka daripada sasterawan masyhur yang pernah mewarnai zaman gemilang sastera Jepun dan juga seluruh dunia. Sedangkan karya mereka pula menjadi inspirasi kepada kebolehan yang dimiliki oleh setiap watak yang ada.

Bungo Stray Dogs: Lembaran Kasih untuk Pembugaran Sastera

Siri Bungo Stray Dogs menjadi satu pembuktian bahawa dunia kesusasteraan boleh diperkasa dan diperhebat melalui satu kaedah yang ‘melawan kebiasaan’ jika dibandingkan dengan cara-cara yang bersifat konvensional. Berbanding kebergantungan kepada jualan karya dan kempen promosi semata-mata, pencipta siri ini (Kafka Asagiri) bijak menggunakan seni lukisan dan animasi untuk memasyhurkan semula sasterawan dahulu kala. Apatah lagi mengingatkan status animasi Jepun atau anime yang mendunia, maka ia merupakan satu keberuntungan dan langkah yang genius.

Penceritaan yang luar biasa ini berjaya menceritakan sekaligus menjelaskan karya-karya ulung yang pernah terbit suatu masa dahulu. Misalnya, protagonis kepada siri ini (Atsushi Nakajima) berjaya mempopularkan semula karya asal Nakajima yang bertajuk Sangetsuki (Rembulan di atas Pergunungan). 

Kejayaan Asagiri ini membuka mata ramai akan kepentingan serta ketinggian nilai sastera, bukan sahaja dari nilai komersial namun dalam kehidupan seharian. Beberapa tinjauan mendapati bahawa jualan karya-karya penulis yang dijadikan watak karakter dalam siri ini melonjak seperti karya Osamu Dazai (Bukan Lagi Manusia) ataupun Fyodor Dostoevsky (Jenayah dan Hukuman).

Memaknai Sastera Cara Baharu

Jika dahulu entiti seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mengelilingi bandar dan desa untuk memperkenalkan produk sastera serta turut menghebahkannya ke corong radio dan televisyen sahaja, beberapa dekad kemudian menyaksikan sebuah pembaharuan kaedah yang mungkin tidak terjangkau pada zamannya. Lahirnya teknologi Internet pada tahun 1980-an memberikan ruang dan peluang untuk sastera terus berkembang.

Ditambah lagi dengan adanya kecerdasan buatan atau AI, maka sudah pastinya sastera akan terus terliputi oleh kreativiti dan inovasi yang tidak putus-putus terbit. Saban hari, ada saja karya-karya kreatif terpampang di media sosial.

Sastera juga kini tidak terbatas pada puisi mahupun prosa semata-mata. Bahkan hari ini, lukisan dan lagu telah mula menjadi sebahagian daripada sastera itu sendiri. Intepretasi yang meluas dalam setiap karya seni visual membolehkan lahirnya prosa dan puisi yang berkualiti tinggi menerusi apresiasi yang bersesuaian. Lagu juga kini menjadi tumpuan dek laras bahasa yang digunakan menunjukkan keindahannya yang tersendiri.

Sastera, Belia, Teknologi dan Masa Hadapan

Menyedari keperluan untuk legasi sastera diturunkan sekaligus diteruskan oleh golongan muda, maka usaha-usaha untuk mendekatkan mereka dengan sastera semakin dipergiat hari demi hari. Tanpa mengira bahasa apa yang digunakan, semuanya tampak menjurus kepada satu sasaran sejati: untuk membugar dan menghidupkan semula budaya sastera yang semakin pudar dalam cabaran digitalisasi.

Kita perlu menerima kenyataan bahawa Sepanggar dan Kota Kinabalu merupakan hab pendidikan di negeri Sabah selain daripada menjadi hab perniagaan dan pintu masuk kepada keindahan yang dimiliki di negeri ini. Kewujudan institusi pendidikan di kawasan Sepanggar terutamanya memberikan satu kelebihan untuk sastera di negeri Sabah kekal berkembang.

Kolaborasi yang dihasratkan oleh institusi ini bersama dengan organisasi sastera yang ada di seluruh Sabah berjaya menjadi pemangkin dalam pembangunan semula sastera kita. Hasil daripada bengkel dan ziarah sastera ke sekolah dan institusi pengajian tinggi, ribuan pelajar dan mahasiswa telah mendapat manfaat daripada kegiatan ini.

Dari sudut pandang yang lain, sastera tidak pernah mengenepikan ehwal yang lain termasuklah memanfaatkan teknologi semasa. Bahkan pada hakikatnya, inilah yang menjadi kunci utama dalam memastikan budaya sastera tidak lesap apabila merentasi generasi baharu. Kewujudan aplikasi seperti TikTok dan Instagram berjaya membantu sekaligus memperluaskan sastera, bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia turut merasai dampaknya.

Percayalah, sastera dan budaya kita akan terus bertahan dan kekal segar di masa hadapan sekiranya kita mengambil inisiatif yang bersifat jitu dan istiqamah bermula sekarang. Negara dan negeri kita tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang ini. Cuma saja mereka yang berpotensi ini perlu dicari serta digilap sebaik mungkin.

Percayalah, sastera dan budaya kita akan terus bertahan dan kekal segar di masa hadapan sekiranya kita mengambil inisiatif yang bersifat jitu dan istiqamah bermula sekarang. Negara dan negeri kita tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang ini. Cuma saja mereka yang berpotensi ini perlu dicari serta digilap sebaik mungkin.

Kuseru Namamu, diambil daripada tajuk lagu ‘Namae wo Yobu yo’ (Kuseru Sebuah Nama) nyanyian kugiran Luck Life yang juga menjadi lagu penutup bagi siri Bungo Stray Dogs musim pertama ini bukanlah sebuah inisiatif populis yang menggunakan trend semasa untuk menarik generasi muda kepada sastera. Inisiatif ini dihasratkan untuk menyeru lebih ramai generasi belia dan mereka yang berpengalaman untuk bersama dalam penyuburan sastera yang berterusan. Ketika sastera kita seakan-akan memudar, di situlah nama-nama ini akan diseru semula.

Inisiatif ini diharapkan akan mencapai tiga tonggak pencapaiannya. Pertama, untuk melihat sebuah kesinambungan sastera yang berterusan antara generasi terdahulu dengan yang terkemudian. Kedua, untuk melihat perluasan dimensi sastera yang meliputi semua medium dan golongan usia, tanpa memandang latar belakang mahupun jenis sastera manakah yang diceburi. Ketiga, untuk meremajakan sastera agar ia tetap relevan dengan arus semasa, sekaligus menyuburkan kembali dunia persuratan yang pada suatu masa dahulu pernah menyerlah.

Bertitik-tolak daripada itu, inisiatif ini, teguh bersama inisiatif-inisiatif lain yang sedia ada, mampu untuk memperkasakan sastera di Negeri di Bawah Bayu ini. Apatah lagi dalam masa-masa ini, Kota Kinabalu sedang dalam fasa menuju Kota Sastera UNESCO di masa hadapan. Oleh hal yang demikian, Kuseru Namamu merupakan jawapan daripada aspirasi ini dalam memperkukuh budaya literasi dan sastera untuk generasi belia.