Sasterawan Negeri Sabah ke-3

HJ. SUKOR BIN HJ. USIN, PPN, BSK, BK
(Hasyuda Abadi)
Sasterawan Negeri Sabah ke-3

IPS MERAYAKAN HASYUDA ABADI SEBAGAI SASTERAWAN NEGERI SABAH KE-3

Dengan sepenuh kesyukuran kepada Allah SWT dan dengan rasa sukacita, saya dan rakan-rakan ahli dan kakitangan urus setia Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengucapkan tahniah dan selamat atas terpilihnya Hasyuda Abadi sebagai Sasterawan Negeri Sabah ke-3. IPS merasa sukacita kerana selepas 32 tahun penubuhannya, salah seorang ahli kerabatnya telah berhasil dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sabah. 

IPS menghargai segala jasa dan bakti beliau kepada negara, khususnya negeri Sabah, dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan sejak tahun 1979. Penganugerahan ini merupakan hasil usaha beliau memimpin pergerakan sastera di Sabah selama 20 tahun sebagai Ketua Satu IPS dan sehingga kini sudah lebih tiga tahun menjadi Ketua, Majlis Penasihat IPS. IPS optimis penganugerahan ini bukan sahaja meningkatkan semangat beliau untuk terus berkarya, tetapi juga menjadi inspirasi dan teladan kepada yang lain untuk berkiprah di lapangan sastera.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah

15 Disember 2022

Penulisan ini hanya semata-mata sebuah ringkasan kepada biodata penuh beliau. Untuk bacaan lanjut, sila layari laman sesawang beliau di sini. Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel kepada hasyuda<at>gmail<dot>com.

Latar belakang peribadi dan keluarga

Hj. Sukor bin Hj. Usin (Hasyuda Abadi) dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Ayah beliau, Hj. Hussin Ripan seorang petani, berbangsa Murut, berasal dari Tenom, manakala ibu beliau, Hjh. Subiah Sidek berbangsa Jawa, berasal dari Beaufort. Lima orang adik Hasyuda terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan. 

Hasyuda Abadi mendirikan rumah tangga dengan Yazidah Yau Abdullah (1963-2010) dan telah dikurniakan dengan dua orang puteri iaitu Syahzierah dan Syahfierah dan seorang putera yang bernama Muhammad Yazin. Beliau kemudian berkahwin dengan penyair Hjh. Sahara Jais pada 2010 yang melahirkan dua orang lagi puteri, Syahierah Insyirah dan Sumayyah Zhufairah.

Latar belakang pendidikan dan kerjaya

Hasyuda Abadi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Lumadan (sekarang Sekolah Kebangsaan Ladang Lumadan), Beaufort pada tahun 1967 hingga tahun 1972 dan di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John, Beaufort sehingga Tingkatan Lima aliran Sains pada tahun 1973 hingga tahun 1978.  Suatu ketika dahulu, Hasyuda Abadi pernah bercita-cita menjadi seorang guru tetapi cita-citanya itu tidak menjadi kenyataan. 

Semasa di sekolah menengah, setelah lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (Lower Certificate of Education, LCE), beliau naik tingkatan empat dalam aliran sains. Hasyuda Abadi amat meminati subjek matematik. Sehabis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (Malaysian Certificate of Education, MCE), beliau merantau ke Kota Kinabalu pada tahun 1979 dan mendapat tawaran kerja tetap di sektor kerajaan. 

Sebaik sahaja beliau menyertai Perkhidmatan Awam Persekutuan, beliau ditempatkan di Jabatan Penyiaran Malaysia. Enam tahun kemudian, Hasyuda Abadi berpindah ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga beliau bersara pilihan pada tahun 2015. Setelah bersara, beliau berkecimpung dalam dunia pendidikan Islam apabila menubuhkan dan menguruskan sendiri Rumah Puisi Hasyuda Abadi dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam bersama isteri dan anak-anaknya.

Kegiatan bahasa, sastera dan budaya

Hasyuda Abadi mula menceburi bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah pada tahun 1979 apabila menyertai Kumpulan Anak Seni di bawah Zaiton Ajamain (sekarang Datuk) sebagai penari kebudayaan. Semenjak daripada itu, beliau mula tertarik dengan dunia penulisan sehinggakan karya sastera yang terbit daripada tangan beliau mendapat pengaruh dan sentuhan daripada Zaiton Ajamain.

Karya pertama beliau merupakan sebuah karya protes bertajuk ‘Mengapa oh Mengapa’ tersiar di akhbar Sabah Times pada 13 Disember 1980. Sejak itu, beliau cenderung kepada penulisan puisi dalam masa yang sama juga menghasilkan karya-karya lain seperti cerpen, esei sastera, esei kritikan dan drama. 

Ahli Ikatan Penulis Sabah (IPS) sejak tahun 1992 ini merupakan Ketua Satu dari tahun 1999 hingga 2019. Beliau merupakan Ketua Satu IPS dengan masa terpanjang sepanjang sejarah IPS. Sejak tidak lagi menjadi Ketua Satu dan sehingga kini, beliau merupakan Ahli Kehormat dan Pengerusi, Majlis Penasihat. Di samping IPS, beliau juga merupakan ahli seumur hidup Badan Bahasa dan Sastera Sabah dan Persatuan Penulis Nasional, serta pengasas dan Pengerusi, Kelab Kegiatan Komuniti Buku Sabah. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan, Institut Penilaian Sastera Sabah.

Sumbangan kepada bangsa dan negara

Hasyuda Abadi telah menulis lebih 1,000 buah puisi di pelbagai media, 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas dan radio. Sebahagian daripada karya beliau terdapat pada perpustakaan-perpustakaan utama dalam dan luar negara. Malah, pandangan kesusasteraan beliau turut dipetik oleh para penyelidik tempatan dan antarabangsa dalam kajian yang disenaraikan dalam Google Scholars.

Selain aktiviti menulis, beliau sudah sering diundang menjadi pembimbing dalam pelbagai bengkel penulisan baik anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP Sabah), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan badan-badan bukan kerajaan di Sabah. Ketika Kementerian Pertahanan masih mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), beliau pernah menjadi ketua pemudahcara dan pemudahcara bagi Program Penghayatan Sastera dan Budaya. Beliau juga merupakan pemula kepada Program SUNTIK yang bernaung di bawah DBP Sabah.

Beliau juga terlibat dalam pengembangan sastera di peringkat antarabangsa. Perkara ini terbukti apabila beliau pernah menyertai KL Poetry Reading pada tahun 2000, Korean-ASEAN Poet and Literature Festival (Indonesia) pada tahun 2011, Baca Puisi Dunia Numera pada tahun 2014, Temu Sastra Indonesia-Malaysia pada tahun 2015 dan Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun (Indonesia) pada tahun 2016.

Pengiktirafan

Hasyuda Abadi telah meraih pelbagai anugerah dan hadiah sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan khidmat sukarela beliau dalam membina dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah. Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008 dan 2019 dan Hadiah Sastera Sabah sebanyak 14 kali bagi genre puisi dan cerpen, kali pertama pada tahun 1989 dan kali terakhir pada tahun 2022 (bagi tahun penilaian 2020/2021).

Selain daripada meraih naib johan, Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas 1995 dan hadiah utama, Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011, beliau turut menjadi salah satu daripada sepuluh orang pemenang Pertandingan Sayembara Penulisan Puisi Ramadan 2022. Kesemuanya dianjurkan oleh DBP Sabah. Beliau turut dinobatkan sebagai Tokoh Seni Sastera Islam Sabah oleh Kementerian Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan Negeri Sabah pada tahun 2022.