AZMAH BINTI NORDIN
Sasterawan Negeri Sabah Kedua
(Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka)
IPS MENGALU-ALUKAN SASTERAWAN NEGERI SABAH AZMAH NORDIN
Dengan rasa syukur dan gembira, Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengucapkan selamat bergabung kepada Sasterawan Negeri Sabah Azmah Nordin. Kehadiran beliau dalam IPS mulai 30 Januari 2026 merupakan satu detik bersejarah buat komuniti penulis Sabah.
Azmah Nordin adalah nama besar yang telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada dunia persuratan Malaysia. Melalui ketajaman pena beliau, puluhan novel dan cerpen bermutu tinggi telah dihasilkan, yang bukan sahaja mengangkat isu kemanusiaan dan budaya masyarakat Borneo, malah menjadi rujukan penting dalam sistem pendidikan serta kajian sastera negara.
Ketokohan beliau terbukti menerusi pencapaian cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuklah pengiktirafan berprestij sebagai penerima Anugerah Persuratan Asia Tenggara 2009 dan pelbagai kemenangan dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Ketekalan beliau dalam berkarya menjadi obor semangat kepada para penulis mapan, muda dan baharu.
Dengan penyertaan beliau ke dalam IPS, IPS kini secara rasminya menjadi "rumah" kepada dua orang Sasterawan Negeri Sabah di samping Hasyuda Abadi. Serentak dengan itu, menjadi tanggungjawab IPS menurut Fasal 18(2), Perlembagaan IPS untuk memberi hak yang diterima oleh Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi kepada Sasterawan Negeri Sabah Azmah Nordin.
AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah
1 Februari 2026